Thursday, 5 May 2016

UBAH


Tidak sangka sudah 2 tahun berlalu bila Facebook mengimbau kembali kenangan lepas.  Termasuk hari ini sudah hampir 2 tahun juga saya bergelar guru pelatih.  Alhamdulillah atas rezeki yang diberikan Allah SWT, saya lulus temu duga. :)  Teringat juga dahulu ketika temu duga di IPG Rajang, saya sempat berkenalan dengan beberapa orang yang sama tarikh temu duga seperti saya dan ada yang menceritakan pengalaman lepas mereka.  Ada antara mereka yang sudah datang untuk temu duga kali kedua/ketiga.  Sejujurnya saya memang kagum dengan semangat mereka walaupun kali pertama telah gagal temu duga tapi itu semua tidak meleburkan semangat mereka untuk datang lagi bertemu duga.  Oleh itu, saya nak beritahulah mereka-mereka kat luar sana yang sudah terpilih nama untuk ditemu duga nanti atau sudah terpilih masuk dalam IPG tu, hargailah rezeki yang awak dapat.  Sepatutnya awak bersyukur walaupun awak masuk IPG bukan atas kehendak sendiri tetapi nama awak telah tersenarai sebagai bakal penuntut di IPG berbanding mereka yang kurang bernasib baik yang memang betul-betul teringin menjadi guru tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. :)  

Ok ;D seperti yang dilihat pada gambar di atas memang nama saya terpilih untuk opsyen Pendidikan Pemulihan.  Opsyen itu memang sesuatu yang asing pada pendengaran saya dahulu dan juga sesuatu yang memang saya cuba elakkan untuk pilih sebab saya tidak tahu apa itu Pendidikan Pemulihan dan opsyen itu juga kedengaran agak bosan dan tidak mencabar..Opss! >_<  Haha..Allah sebaik-baik perancang..Apa yang saya tidak mahu itulah yang saya selalunya dapat.  Bila dah belajar sendiri Pendidikan Pemulihan ini, baru saya merasa cabarannya.  Bukan senang seperti yang saya sangkakan..

Sebenarnya dulu dalam borang itu, saya minta Bahasa Melayu sebagai opsyen saya.  Saya memang minat sangat-sangat Bahasa Melayu tetapi bila keputusan PMR saya dapat cemerlang, secara automatiknya saya telah masuk ke dalam kelas Sains 1.  Sains...minat saya dalam bidang ini tidak seberapa namun untuk pindah ke kelas sastera memang sedikit sukar.  Jadi dari situlah impian saya untuk belajar di kelas sastera telah terkubur dan hanya mampu hasilkan karya sastera sendiri sebagai hobi sampingan bila bosan atau tertekan belajar subjek Sains.Hihi..

Apa yang boleh saya rumuskan bila teringat kisah sebelum ini ialah Allah memang sebaik-baik perancang ;D  Biarpun bahasa Melayu bukan subjek major saya tetapi sekarang bahasa Melayu merupakan subjek minor saya.  Jujur saya beritahu saya bersyukur sangat-sangat bila pensyarah mewajibkan kami untuk ambil bahasa Melayu sahaja biarpun ada rakan sekelas lain yang memilih Matematik dan PJ. Sebab itu kalau anda semua perasan, sekarang ini saya lebih cenderung untuk menggunakan perkataan bahasa Melayu yang betul dan lengkap dalam penulisan blog ini kerana saya bukan sahaja ingin melatih diri untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul bahkan saya ingin mengajak anda semua untuk berbuat benda yang sama.  Jika bukan kita sendiri yang mengubahnya, siapa lagi? :)  Jadi dari sinilah saya ingin membiasakan diri menyampaikan isi blog saya dengan menggunakan bahasa Melayu yang lengkap dari segi ejaan dan tatabahasanya dengan harapan anda semua yang membaca ini akan turut sama berminat untuk berbuat demikian.  Pada mulanya memang kedengaran amat janggal dan formal, namun tidak salahkan untuk kita mencuba sedikit demi sedikit? :D  Tidak kisahlah tatabahasanya bukan 100% tepat tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba. :)

Akhir kalam, bahasa Melayu bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi bahasa Melayu adalah untuk semua rakyat Malaysia.  Saya ulangi sekali lagi, SEMUA RAKYAT MALAYSIA! :D  



Gambar di atas adalah ketika kelas sastera bahasa Melayu :) Terima kasih sudi baca!

Salam sayang,
N.I.A


No comments:

 
copyright by Izah Assrin